Saturday 6 August 2011

Adakah Ada Ramadhan Buat Kita?


Begitulah Ramadhan berkunjung lagi,
Pada keriuhan kita dengan kehidupan ini,
Ramadhan menyapa kita penuh bersahaja,
Serta mengingatkan kita,
Sudah tiba masanya untuk kita bermusafir bersamanya.
Namun adakah benar kita memaknainya?
Atau menganggapnya seperti satu perjalanan biasa sahaja?
Begitulah kita.
Berbeza dengan mereka.
Mereka para sahabat Rasul tercinta,
Mereka menyambut Ramadhan dengan air mata,
Rintihan taubat dan serta kemerduan alunan al-Quran.
Sedangkan kita menyambut Ramadhan,
Dengan pelbagai menu dan resepi baru juadah berbuka.
Mereka menyambut Ramadhan dengan ketaatan,
Serta lamanya berdiri di atas sejadah,
Kita menyambut Ramadhan,
Dengan pembaziran menggila,
Serta lapar dan dahaga.
Bezanya kita dengan mereka.
Mereka ternanti-nantikan kedatangan bulan ini,
Untuk menyedut rahmah-Nya,
Menyedut maghfirah-Nya,
Serta menyedut perlepasan dari api Neraka-Nya.
Sedangkan kita,
Menantinya dengan keperitan,
'Ah, sebulan kene berlapar dan dahaga!'
Tetapi tidak mengapa pada kita: raya akan kunjung tiba!
Boleh peragakan baju dan langsir baru,
Serta handbag dan kasut baru.
Alangkah berbezanya kita dan mereka!
Pemergian Ramadhan bagi mereka ditangisi air mata.
Pemergian Ramadhan bagi kita diiringi sorak ria serta juadah raya,
Masjid Nabawi dan Baitul Haram pasti dipenuhi barisan saff manusia di sepertiga akhir Ramadhan.
Pesta ibadahnya meriah,
Dengan Tarawikh dan Tahajud,
Serta tilawah al-Quran.
Lailatul Qadr dicari-cari pada malam ganjil,
Sehinggalah para sahabat bertemu dengannya,
merasai kenikmatan seribu bulan itu.
Sedangkan masjid kita suram belaka,
Sunyi dari ibadah, solat mahupun al-Quran,
seolah-olah kita lupa akan sebuah hakikat.
Apakah ada Ramadhan buat kita?

Mak, Saya Sayang Mak

alt
Isk.. isk.. isk.. Aku menangis, aku terkedu. Ya Allah, Kau ampunkanlah aku dan cucurilah roh ibuku di kalangan orang yang beriman.

Hamba-Mu ni anak yang derhaka, anak yang tidak mengenang jasa.
Hamba-Mu ini tak tahu menilai intan dan kaca.
Hamba-Mu ni alpa dan asyik dengan keseronokan dunia, bangga dengan diri sendiri, ego...
Kini semuanya tidak berguna lagi, ibuku telah tiada.
Dan aku anak tunggalnya yang diharap-harapkannya gagal memberi kasih sayang dan menjaganya di usia tua..
Oh! Kejamnya hamba-Mu ini...
Aku mengimbau....
"Man, malu mak! Semua kawan-kawan Man mengejek Man. Mereka kata mak Man raksasa, hodoh. Ada satu mata aja."
"Biarlah Man, lama-lama mereka akan penat bercakap. Mereka akan berhenti mengata Man lagi."
"Arghhh... Man tak peduli mak. Mereka sentiasa mengejek Man.
Mak janganlah datang ke sekolah Man lagi. Man malu mak.. Man ada mak yang hodoh, mata satu. Man malu mak!"
Rizman bangun lalu pergi ke biliknya. Dia berazam nak belajar sebaik mungkin dan keluar belajar jauh dari kampungnya.
Ibunya sayu melihat anak tunggal kesayangannya itu. 
Tapi dia tetap bersabar dan sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anaknya itu.
Akhirnya Rizman berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara dalam bidang perubatan.
Dia berjaya menjadi seorang pakar bedah yang berjaya.
Sepanjang tempoh tersebut, dia tak pernah mengirim berita atau melawat ibunya di kampung.
Namun ibunya tetap gembira apabila mengetahui kejayaan anaknya dan sentiasa mendoakan kejayaan untuk anak kesayangannya itu.
Rizman seolah-olah telah melupai ibunya, dia malu kerana maknya bermata satu, hodoh ibarat raksasa.
Ibunya mendapat tahu yang Rizman kini telah bertugas ibu kota.
Anaknya itu kini menjadi doktor pakar di sebuah hospital swasta tersohor di Malaysia.
Anaknya juga telah berkahwin dengan seorang anak Dato' dan mempunyai dua orang cahaya mata - seorang putera dan seorang puteri.
Hati ibunya melonjak-lonjak ingin bertemu dengan anak kesayangannya itu.
Dia bertekad yang dia mesti berjumpa dengan anaknya di ibu kota!
Suatu hari, ibunya menaiki teksi ke ibu kota.
Dia menuju ke rumah anaknya di kawasan elit, kawasan orang-orang berada dan berjaya.
Siapa yang tak kenal anaknya – doktor pakar bedah yang berjaya dan tersohor di Malaysia!
Setiba di banglo anaknya itu, ibunya itu menekan suis loceng rumah di pagar rumah tersebut.
"Keretanya ada, lagipun hari ni hari minggu, pasti anakku ada di rumah," getus ibunya.
Seorang pembantu rumah separuh umur datang dan menanya,
"Mahu apa makcik? Nak jumpa siapa?"
"Makcik nak jumpa dengan anak makcik."
"Anak makcik? Siapa?"
"Dr. Rizman tu anak makcik, anak tunggal makcik."
"Ooo... sekejap makcik ya, nanti saya panggil tuan."
Pembantu rumah tersebut bergegas masuk ke dalam rumah untuk memaklumkan kepada Dr. Rizman.
Sebentar kemudian, Rizman keluar dengan anak sulungnya, Aiman.
"Siapa kau wahai orang tua?"
"Man.. anak mak, intan payung mak, ni mak ni. Mak baru jer sampai dari kampung."
"Mak? Mak aku dah lama tiada. Aku tiada mak yang bermata satu dan hodoh macam kamu ni. Aku orang yang berjaya, takkan mak aku rupa macam ni?"
"Ayah.. Aiman takut ayah. Nenek ni mata satu, macam hantu!"
"Kau dengar tu orang tua, berambus kau dari sini. Jangan kau cuba nak menakutkan anakku ini pula! Berambus! Kau bukan mak aku!"
"Sampai hati kau Man, ni mak ni. Mak yang membesarkan kau dari kecil hingga kau dewasa"
"Arghh.. mak aku dah tiada. Pergi kau dari sini! Jangan ganggu keluarga aku ni wahai orang tua!"
Maknya menangis dan dengan penuh hiba, maknya beredar kerana dia tidak mahu menakutkan cucunya dan menjatuhkan maruah anaknya. Dia melangkah longlai dan hilang di puput bayu...
Malam-malam yang mendatang, Rizman sering bermimpi yang dia dibakar oleh api yang marak menyala.
Api itu seolah-olah takkan padam malah semakin marak menjulang tinggi. Bisa menelan apa saja yang dibakarnya.
Rizman rasa panas yang amat membara dan dia meminta tolong untuk di keluarkan daripada panas api tersebut.
Tiba-tiba dia terdengar satu suara,
"Kau akan kekal dalam api ini selama-lamanya kerana kau telah derhaka kepada ibumu yang melahirkan dan membesarkan kamu. Maka sinilah tempat mu yang paling sesuai sehingga ke akhir masa mu!"
Rizman terkejut dan bingkas bangun dari tidurnya. Dia beristighfar.
Memikirkan mimpinya itu yang masuk kali ini dah hamper tujuh hari berturut-turut dengan mimpi yang sama.
Perasaan sebak tiba-tiba datang melanda dirinya. Dia berasa amat berdosa dengan ibunya.
Rizman bertekad. Dia mesti pergi berjumpa ibunya esok. Mesti!
Setibanya di kampung, rumah ibunya bertutup rapat dan begitu sunyi.
Rizman memberi salam namun tiada siapa yang menjawab.
Tiba-tiba, Fuad; kawan Rizman sewaktu kecil menegur Rizman.
"Hoi anak derhaka! Baru sekarang kau nak balik? Buat apa kau balik, pergilah duduk di bandar sana. Sini kampung, tempat orang susah dan tak bersekolah! Buat apa kau nak balik sini?"
"Aku nak jumpa mak aku. Aku banyak dosa dengan dia. Aku nak memohon maaf dengan dia. Kau nampak mak aku Fuad?"
"Hoh.. dah buat salah senang-senang kau nak minta maaf ya. Kau tahu tak betapa besarnya dosa kita jika kita menderhakai kedua ibu bapa kita? Kau tahu tak?" herdik Fuad.
"Aku dah sedar, aku insaf, aku nak jumpa mak aku. Mana dia Fuad?"
"Kau terlambat Man, dia dah tiada. Baru dua hari lepas dia dah kembali ke rahmatullah"
"Apa?"
Man terjelepuk ke tanah menangisi kematian ibunya. Dia sedar yang dosanya tidak akan dapat diampunkan kerana kesalahannya dengan ibunya itu!
"Sebelum mak kau meninggal, dia ada tinggalkan satu surat kat kau. Nah! Kau pikirlah sendiri."
Man mengambil surat tu dan membaca...
Ke hadapan anak mak yang mak sayangi,
Mak berbangga kerana mak ada anak yang cerdik, pandai dan berjaya. Mak tumpang gembira.
Mak gembira kerana dapat juga melihat cucu mak yang dah besar tu. Mak tahu yang Man juga sangat sayang anak Man tu sama seperti mak menyayangi anak mak.
Mak dulu ada seorang anak. Pada waktu dia kecil-kecil dahulu, anak mak ni kemalangan. Matanya tertusuk dengan ranting kayu. Matanya buta. Mak rasa sangat sedih dan susah hati. Mak rasa seperti hidup mak dah berakhir.
Mak tak sanggup melihat anak mak itu dalam keadaan buta sebelah mata. Nanti kawan-kawannya ejek dia nanti macam mana? Mak tekad. Mak akan menghadiahkan sebelah mata mak kepada anak mak ini supaya dia boleh melihat dunia yang indah ini dan berjaya di masa hadapan.
Mak tak apa. Jika anak mak berjaya maka mak amat gembira kerana anak mak berjaya kerana dia dapat melihat melalui mata mak itu. Biarlah dia melihat dunia. Mak tak kisah tentang pengorbanan mak ini.
Kini segala impian dan harapan mak dah dipenuhi. Mak tetap sayangkan anak mak. Mak ampunkan segala dosa anak mak ini. Mak doakan moga anak mak ini berjaya dunia dan akhirat.
Rizman terkedu. Air matanya pantas mengalir keluar.
Barulah dia sedar, mak yang dia selama ni dia cemuh telah memberikan matanya untuk dia supaya dia boleh berjaya dan melihat dunia.
Sesal yang tiada penghujungnya menyusup masuk ke sanubari Rizman.
"Mak! Ampunkan Rizman mak! Rizman banyak dosa dengan mak! Rizman sayang mak!"jerit Rizman.
*****
Dari Abu Hurairah R.A:
Datang seorang menemui Rasulullah S.A.W dia bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling layak untuk bergaul dengan paling baiknya?" "Ibumu." Baginda S.A.W menjawab. "Kemudian siapa?", "Ibumu", "Kemudian setelahnya siapa?","Ibumu." Untuk kali berikutnya orang itu bertanya lagi, "Kemudian siapa?" "Ayahmu"jawab Baginda Rasulullah S.A.W.
Berbuat baiklah dengan kedua ibu bapa kita sewaktu hayat mereka kerana keredhaan Allah datang selepas kerdhaan kedua ibubapanya!

Bila Kacang Memilih Mulut Daripada Kulit


Zaman sekarang ni, kebanyakan remaja yang punyai kekasih hati lebih berminat untuk mendengar kata-kata yang diucapkan oleh bibir kekasih hati mereka daripada mendengar nasihat yang diberikan oleh ibu bapa sendiri. Perkataan-perkataan seperti 'Mak ni berfikiran kuno', 'Saya tahulah apa yang saya buat!', 'Mak, ayah jangan masuk campur urusan saya!' dan banyak lagi perkataan-perkataan keras yang lain acapkali dilemparkan kepada ibu bapa apabila mereka tidak berpuas hati dengan teguran dan nasihat yang diberikan.
Usia kian meningkat. Daripada dahulunya merupakan seorang kanak-kanak kecil kini telah menjadi remaja yang menginjak dewasa. Kehidupan yang selama ni ditanggung oleh mak dan ayah semakin dilupai. Insan baru hadir dalam hidup. Insan yang bernama kekasih disayangi dan dicintai sepenuh hati. Time tu mulalah anak-anak remaja ini lupa diri. Mak ayah ditolak tepi. Cinta kepada kekasih hati tak berbelah bahagi.
Patutlah Islam mengharamkan budaya couple. Bukan sahaja akan mengundang maksiat tetapi turut menjadikan seorang anak menjadi derhaka. Mungkin anda akan berfikir, bukan semua yang bercouple itu menderhaka kepada ibu bapa. Ya,tidak semua tetapi segelintir. Namun, alangkah elok sekiranya kita menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang tidak mustahil akan berlaku kemungkaran daripadanya.
Pada pandangan para pembaca semua. Siapa yang patut kita utamakan selepas Allah dan Rasul? Kekasih hati ataupun Mak dan ayah? Nah! Ikuti kisah berikut untuk tauladan bersama..
Situasi 1: Mak minta tolong vs Kekasih minta tolong.
Mak: Minah, tolong masakkan nasi goreng untuk mak boleh? Mak lapar nak. Teringin nak makan masakan kamu.
Minah: Laa...Minah penat ni!
Mak: Hmm. Alahai anak aku...

Mamat: Sayang, abang lapar lah. Tiba-tiba terasa nak rasa masakan sayang. Harini sayang masak untuk abang, boleh?
Minah: Boleh abang! Sekarang jugak ayang masakkan untuk abang. Tunggu ye!
Mamat: Sayang you sangat-sangat! (gaya miang)

Situasi 2: Pesan mak vs pesan kekasih
Mak: Minah, janganlah keluar malam-malam.Tak elok tau anak dara keluar malam. Apa kata orang-orang kampung nanti. Kalau jadi apa-apa kat kamu, siapa yang susah? Mak risau.
Minah: Ala mak ni membebel je. Orang bukan pergi mana pun. Nak pergi jumpa Mamat kejap je pun susah....hish!
Mak: Alahai anak aku...

Mamat: Sayang, abang hari ni ada kerja kat KL. Sayang duduk kat kampung tu janganlah keluar malam-malam pula. Waktu abang tak ada ni, jaga diri ye sayang....I love you!
Minah: Baiklah abang. I ikut cakap you. Abang pun jaga diri tau! Love you too. (gaya gedik)

Situasi 3: Pandangan mak vs pandangan kekasih
Mak: Minah! Kenapa pakai baju ketat-ketat ni? Malu mak tengok. Bahaya pakai macam ni! Nanti lelaki-lelaki gatal kacau...
Minah: Mak ni bising la! Orang tau lah apa yang orang buat. Mak, orang dah masak la dengan perangai lelaki kat luar sana..mak bukannye tahu apa-apa pun!
Mak: Alahai anak aku..

Mamat: Sayang, you pakai short dress ni cantik sangat tau. Tergoda I tengok you! Tapi, I harap you pakai macam ni bila depan I je boleh sayang? Jangan pakai depan lelaki-lelaki lain, I tak suka. Janji sayang?

Minah: Ops, you tergoda? Hehe. Abang jangan risaulah..sayang akan pakai seksi macam ni depan abang je. Sayang tak pakai seksi-seksi bila abang takde. 

Situasi 4: Mak suruh kahwin vs Kekasih ajak kahwin
Mak: Minah. Mak rasa kamu kahwin je la dengan si Mamat tu cepat-cepat. Muak dah mak tengok kau keluar dengan jantan tu tanpa ikatan, melayan telefon dari jantan yang bukan mahram. Mak tak berkenan dengan gaya kamu nak..
Minah: Mak ni kan..suka sangat tak puas hati dengan gaya hidup orang. Tau la mak jeles kan?!
Mak: Alahai anak aku.. Minah..Minah...(menggeleng kepala kesedihan)

Mamat: Sayang, abang tak sabar nak kahwin dengan sayang. Jom kita kahwin nak? (Ajak-ajak ayam)
Minah: Sayang pun tak sabar nak kahwin dengan abang! Kalau abang sudi, esok pun sayang sanggup kahwin dengan abang.

Situasi 5: Mak vs Kekasih??
Mak: Hari-hari mak tengok minah bersembang dan bermesej dengan Mamat. Cakap pula bukan main romantik. Minah, kita bercakap dengan lelaki bukan mahram dalam telefon macam tu tak elok Minah...
Minah: Mak, tolonglah faham. Jangan sibuk urusan orang boleh tak?? Orang cintakan Mamat. Tau la zaman mak dulu tak ada handphone!
Mak: Alahai anak mak......

Mamat: Betul la..abang mana ada perempuan lain. Sumpah abang tak tipu!
Minah: Abang tipu, i nampak you jalan dengan betina tu dekat pekan petang semalam! Penipu! (Menjerit-jerit dan menangis)
Mamat: Suke hati Minah la nak percaya ke tak, kalau tak percaya sangat kita putus je lah hubungan. Senang! Tak payah nak call-call dan mesej-mesej lagi dah!
Minah: Abang!!!!
*Ingatlah tidak ada keberkatan andai pesanan mak dan ayah tidak dituruti. Jika pesanan kekasih hati yang terlalu diikutkan sangat, inilah pengakhirannya!
Jadi, you all fikirlah sendiri . Ingatlah, redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa. Bukan pada kekasih hati you all!