Saturday 25 June 2011

,,,,BeLaJaR VS BeRcInTa,,,,,

BUDAYA berpacaran kian menjadi amalan kebanyakan mahasiswa sebaik saja bergelar warga kampus hingga menimbulkan keresahan masyarakat. Kebimbangan itu cukup berasas kerana ia bukan saja mampu mencetuskan fenomena gejala sosial tidak terkawal, malah dikhuatiri boleh menyebabkan mahasiswa tergelincir daripada tujuan asal menjejakkan kaki ke menara gading.

Sudahnya, terkandas dalam peperiksaan,emosi terganggu, pembaziran masa dan wang selain potensi dibuang daripada universiti juga ada. Meskipun sudah tahu risikonya, mahasiswa masih menganggap budaya itu satu kemestian.

Sebagai mahasiswa, banyak lagi tanggungjawab utama perlu dilaksanakan, bukannya sibuk mencari pasangan atau melayan angan-angan yang belum pasti. Mahasiswa juga bagaikan berlumba-lumba mencari pasangan bagi membuktikan mereka sudah dewasa selain sudah tiba masanya belajar berdikari dan membuat keputusan. Naluri untuk saling menyayangi timbul meskipun masanya tidak sesuai. Pada masa yang sama, mereka mahu membuktikan mereka 'laku', ada peminat serta mampu menarik perhatian rakan berlainan jantina untuk menjalin  hubungan ke peringkat serius.

Ini tidak seharusnya berlaku kerana mahasiswa perlu meletakkan kepentingan utama iaitu menuntut ilmu dan menghabiskan pengajian, bukannya mencari pasangan. Budaya ini juga mampu membuat seseorang berisiko terbabit dalam pelbagai masalah luar jangkaan. Bayangkan jika pasangan mahasiswa itu bergaduh sedangkan esok ada peperiksaan, emosi akan terganggu,tidak dapat belajar, sekaligus berdepan risiko gagal dalam pengajian.

Maka, sangat relevenlah jika disimpulkan bahawa,tiada faedahnya mempertahankan atau mementingkan budaya itu kerana jelas mngundang keburukan. Mungkin ada beranggapan diri kuat berdepan cabaran, malangnya aspek membabitkan emosi sukar dikawal. Budaya ini juga merupakan antara penyumbang terbesar masalah sosial kerana didorong perasaan sayang luar biasa. Apabila disogokkan dengan pelbagai pengalaman dan cerita mengenai keseronokan dunia percintaan, mereka yang naif mudah terjebak meskipun ada mengaku hubungan itu dijalinkan atas paksi 'bersih', masih sukar menolak godaan nafsu. Maruah diri tergadai, masa depan juga hancur gara-gara budaya ini.

Tidak dinafikan, isu membabitkan perasaan sangat subjektif, tapi mahasiswa perlu kuat dan mempunyai pendirian.Fokus pada tujuan utama dan jangan mudah terpengaruh dengan kejutan budaya. Menara gading tempat membina kejayaan hidup pada masa hadapan, jangan persiakan peluang dengan terjebak pada perkara merugikan selain tidak perlu terburu-buru memberi komitmen pada mencari pasangan saja.

Gunakan zaman remaja dengan melakukan perkara berfaedah. Apabila tamat pengajian dan memperoleh pekerjaan, itulah masanya paling  sesuai mencari pasangan hidup secara sah di atas jalan yang diredhai Allah s.w.t.

WALLAHUALAM